|
![]() TIADA apa yang diinginkan oleh Vince atau Vincent Chong Ying-Cern, 25, dan Jaclyn Joshua Thanaraj Victor atau Jac menjelang Hari Krismas yang bakal menjelang dua hari lagi.Bagi Vince dan Jac, hadiah paling bermakna yang diidamkan ialah berkumpul bersama seluruh ahli keluarga pada hari itu. Justeru pada 25 Disember ini, kedua-dua juara, Akademi Fantasia 1 (Vince) dan Malaysian Idol (Jac) tidak mahu terikat dengan mana-mana persembahan. Kata Vince cukuplah pengalaman tahun lalu sewaktu diundang mengadakan persembahan di Brunei. Sebab itu, awal-awal lagi pada tahun ini Vince meminta kakaknya, Vanessa yang juga pengurusnya agar tidak menerima sebarang tawaran menjelang Krismas .``Pada saya, Krismas adalah masa untuk bersama keluarga. Wang bila-bila masa boleh cari. Lagipun hari baik sebegitu hanya setahun sekali,'' kata Vince yang turut berbelanja besar untuk keluarga meraikan Krismas. Bagi Jac, 26, tahun ini sahaja dia tidak diundang mengadakan persembahan pada malam sambutan Krismas. Katanya, sepanjang lima tahun menyanyi di kelab sebelum ini, dia sering tidak berpeluang bersama keluarga. ``Waktu itu, saya minta ibu datang ke hotel tempat saya menyanyi dan kami sama-sama sambut Krismas. Macam tahun lalu, saya sambut Krismas di Pulau Pinang. Tidak kira di mana saya sambut krismas, asalkan ibu bersama, saya sudah rasa cukup gembira,'' katanya yang amat mengagumi ketabahan ibunya membesarkan mereka adik beradik. Bapanya meninggal dunia ketika usianya 10 tahun. Sempena Krismas ini juga Vince dan Jac akan muncul dalam program muzikal A Malaysian Christmas Story yang akan disiarkan pada pukul 11.30 pagi, TV2 pada Sabtu ini. Dalam program tersebut, selain menyanyi mereka juga akan berlakon bersama-sama Dayang Nurfaizah, Vick (Malaysian Idol) Marcell, Emmel dan ramai lagi. Vince juga bercadang untuk mengundang rakan-rakan dan tenaga pengajar Akademi Fantasia ke rumahnya pada 26 Disember ini. Sementara bagi Jac pula, Krismas kali ini lebih bermakna kerana dia akan meraikannya bersama teman lelakinya. ``Sepatutnya kami sambut Krismas di United Kingdom sebab lepas Malaysian Idol, saya ingat dapat cuti panjang. Tapi disebabkan banyak program, saya terpaksa lupakan cuti yang telah dirancang,'' jelasnya. Jac yang idamkan kereta Mini Cooper itu berkata, sejak menjadi juara Malaysian Idol, aktiviti seninya terlalu padat. Menurut Jac, dia tidak sangka perlu menjalani rutin sebegitu sehingga menyebabkan dia tidak berpeluang santai bersama rakan-rakannya lagi. Namun, Jac tidak kesal dengan apa yang dilalui, sebaliknya dia kini teruja untuk menyertai World Idol. Katanya, itulah peluang untuknya menonjolkan diri sebagai wakil Malaysia dan bersaing dengan peserta-peserta dari negara lain. Dia yang muncul dengan album sulung berjudul Gemilang berkata, walaupun rutin hidupnya berubah namun dia tetap seperti dulu. ``Saya sentiasa ingat pesan ibu, bersyukur dengan apa yang ada kerana segala yang diberi boleh hilang dalam sekelip mata sahaja,'' katanya . Sementara Vince yang masih mempunyai kedua ibu bapa itu berkata, dia akan berusaha keras untuk membahagiakan mereka. Kata Vince, walaupun ibu bapanya tidak pernah meminta balasan tapi sebagai anak, dia ingin membalas jasa mereka. (Sumber: Utusan Malaysia) |
| Leave a Comment: |